Adwa melangkah masuk ke dalam masjid dengan perasaan kurang senang. Apa tidaknya, ketika dia menanggalkan kasut di muka pintu masjid tadi, beberapa orang memandangnya dengan pandangan skeptikal. Adwa dapat menterjemah apa yang mereka fikirkan. Mamat bawak gitar rambut panjang ni bukan betul ni. Berlakon je nak sembahyang, tapi bila orang tengah kejap lagi, dikebasnya kasut kita. Adwa hanya mampu tersenyum.
Iqamah telah dilaungkan. Beberapa orang jemaah sudah melangkah memenuhi saf hadapan. Namun solat masih belum dimulakan.
"Adwa, mari sini kejap." Seseorang memanggil Adwa. Adwa melangkah ke hadapan.
"Kenapa ni bang?" Adwa bertanya kepada Bilal Jalal.
"Hari ni Imam Razak tak berapa sihat. Tak larat nak berdiri lama-lama. Macam biasa la." Bilal Jalal tersenyum memandang Adwa. Adwa mengangguk faham.
Imam Razak seorang yang tua dan uzur. Namun masih gigih mahu bersolat jemaah. Dan keupayaannya kadangkala memadamkan kegigihannya. Sejak mula mengenali Adwa, setipa kali dia tidak dapat menjadi imam, Adwa akan ditarik menjadi pengganti. Bila lagi orang muda nak belajar jadi pemimpin, kata beliau. Adwa melangkah mendahului barisan saf. Takbir dilaungkan. Solat bermula.
Usai solat, Adwa ingin kembali ke tempatnya membuat persembahan. Busking. Persembahan jalanan. Dan dia mahu dikenali sebagai busker. Seniman jalanan. Dia gembira dengan apa yang dilakukannya. Yang penting halal. Tiba-tiba perutnya berbunyi minta diisi. Padanlah. Adwa belum menjamah makanan sejak pagi. Dia cuma sempat minum saja. Adwa membuka beg pinggang dan melihat isinya. Boleh tahan. Hari ini makan nasi la.
Adwa mengambil nasi kosong dan memilih lauk ikan. Kemudian sayur. Adwa menggeleng-geleng kepala apabila melihat cara makan orang kini. Satu pinggan saja sudah ada 3 lauk. Dengan ikan, ayam, udang. Tak pun Daging, sotong, hati. Bukankah Nabi cuma makan satu lauk saja dalam satu hidangan?
Setelah membaca doa, Adwa menyuap nasi ke mulut. Alhamdulillah, nikmat sungguh rasanya rezeki yang Tuhan beri. Tambahan pula ikan bawal memang menjadi kegemarannya. Dia tersengih sendiri. Selama ini jarang-jarang juga dia makan nasi ketika sedang busking. Bukan apa, rezeki kadang-kadang tak sekata. Kadang dia boleh dapat RM30-50 sehari. Kadang cuma RM5 hingga RM15 saja. Bergantung pada khalayak. Dan tempat. Serta cuaca juga. Lagipun bukan dia seorang saja busker di ibu kota ini. Ramai. Dan rezeki itu ketentuan Tuhan. Andai hari itu rezekinya murah, maka banyaklah hasilnya.
Tapi untuk melakukan busking ini perlukan disiplin. Walau pun pakaian seperti kutu berahak, jeans koyak di bahagian lutut, baju lusuh dan rambut panjang, disiplin perlu ada. Jika malas mahu menyanyi, atau lepak-lepak di kaki lima sambil petik gitar, jangan harap nak rezeki lebih. Adwa juga berasa geram terhadap sesetengah busker yang tidak berdisiplin, yang muda dan baru terutamanya. Ada kalanya mereka mengganggu gadis-gadis yang lalu lalang. Ada kalanya mereka tidur tanpa segan silu di kaki lima. Ini memberi gambaran yang kurang baik terhadap busker yang lain.
Ah, apa nak buat. Semua busker itu (kononya) sama, keras kepala dan punya prinsip sendiri. Bohemian!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Suarakan sesuatu tentang hikayat