"Assalamualaikum." Adwa menoleh ke belakang. Suara itu memang biasa didengarinya.
"Waalaikumussalam. Mari duduk sama." Adwa mempersilakan rakannya duduk.
"Tak busking ke petang ni?" Shuib menyoal kehairanan. Selalunya jam 2 petang Adwa sudah mula untuk menyanyi.
"Busking. Kejap lagi. Lapar la."
"Oh..." Shuib tersenyum sambil memesan minuman kepada pelayan yang menghampirinya.
Shuib. Rakan penghibur jalanan dan juga rakan kongsi perniagaan. Mereka membuat persembahan secara berlainan pada siang hari namun akan berniaga bersama di malam hari. Selain menjadi penyanyi jalanan, Adwa juga berniaga kecil-kecilan, menjual burger. Untuk menampung wang belanja. Sekadar busking kurang mencukupi rasanya. Kebetulan Shuib ialah jiran daripada taman perumahan lain. Jadi setelah berbincang, mereka setuju mendirikan perniagaan bersama. Sudah setahun mereka menjadi rakan kongsi. Dan bagi Adwa, Shuib ialah seorang sahabat sejati.
"Hoi, jauh kau termenung." Shuib mematikan lamunan Adwa.
"Haha. Takda apa la. Kau macam mana hari ni?"
"Alhamdulillah ok jugak la. Tapi, ish, aku tak puas hati geng si Sharif tu."
Sharif. Adwa menggeleng. Ada saja masalah yang ditimbulkannya.
"Ada ke patut tengah aku busking, tiba-tiba saja dia pun terpacak di sebelah aku, busking sama. Memang la sesiapa pun boleh busking kat mana-mana, tapi agak-agak la orang tengah busking pun dia masuk line. Kalau ya pun tunggulah aku habis nyanyi." Shuib merungut.
Sharif dan gengnya. Mereka dilengkapi gitar, tamborin dan amplifier.
"Aku mengalah la, sebab bagi aku rezeki Tuhan tu ada kat mana-mana. Dah aku belah dari situ, sempat lagi perli aku. Geram jugak aku. Rasa ringan je gitar aku ni."
Sharif dan gengnya. Jika tidak kerana sabar itu separuh dari iman, dan marah itu sifat syaitan, maka sudah lama gitar elektro-akustiknya mendarat di kepala Sharif.
"Hoi kau dengar tak aku cakap ni?"
"Dengar."
"Dah tu yang kau termenung tu?"
"Takda apa la. Ni kau dah makan ke?"
"Dah, sebelum zuhur tadi. Ni saja la lepak dah nampak kau kat sini."
"Malam ni, on?"
"Mesti, mesti...rezeki tu. Jangan ditolak." Shuib tersenyum lebar.
"Ok nanti lepas isyak aku datang." Adwa bangun untuk membayar makan minumnya tapi Shuib lebih pantas menuju ke kaunter, menunjuk ke arah meja mereka dan membayar.
"Eh, kau ni...aku boleh bayar sendiri la..."
"Ni, ganti untuk minggu lepas, yang aku lupa bawak duit tu."
Mereka bersalam dan tersenyum. Di hati masing-masing bersyukur, dikurniakan sahabat yang baik!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Suarakan sesuatu tentang hikayat